Saturday, February 2, 2013

BR1M 2.0

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yakin wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang mula diagihkan kepada penerima hari ini di seluruh negara dapat diselesaikan akhir bulan ini.

Beliau berkata, pemberian kali kedua oleh kerajaan persekutuan itu merupakan komitmen berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bersungguh-sungguh mahu membantu rakyat khususnya yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan.

"Bantuan ini disampaikan secara berperingkat, semua yang membuat permohonan akan diberi surat jawapan, kita yakin hujung bulan ini semua akan selesai agihkan bantuan. Pada tahun ini telah ditambah satu lagi kategori iaitu individu bujang yang akan dapat RM250.

"Diharap bantuan ini dapat ringankan beban kewangan penerima dan bantuan ini turut membuktikan bahawa kerajaan BN tidak pernah mungkir janji, kita sentiasa mendahulukan rakyat, mahu rakyat dapat hidup dengan selesa, itu telah menjadi dasar pemerintahan kita sejak dahulu lagi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum itu beliau menyampaikan cek BR1M 2.0 kepada Adun dan penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) seluruh Pulau Pinang untuk diagih-agihkan kepada penerima BR1M 2.0 di kawasan masing-masing, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Murni, Sungai Dua.

Katanya, di Pulau Pinang, terdapat 416,000 penerima BR1M 2.0 melibatkan peruntukan RM183.6 juta dan daripada jumlah itu, 115,000 orang adalah penerima bagi kategori orang bujang.

"Jumlah penerima BR1M 2.0 meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lepas. Pada 2012 hanya 245,000 orang terima BR1M dan melibatkan perbelanjaan RM122.4 juta," katanya.

Tahun ini, tujuh juta isi rumah dan individu bujang akan memperoleh BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan RM3 bilion.

BR1M 2.0 diumumkan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan 2013.

Sementara itu, Nor Mohamed menegaskan pemberian BR1M 2.0 juga membuktikan bahawa kerajaan BN mempunyai kemampuan dan pengalaman dalam urusan pentadbiran kerajaan dan keuntungan yang diperoleh diagih-agihkan secara adil kepada rakyat.

"Kerajaan sentiasa memikirkan kaedah terbaik untuk membantu hidup rakyat, tidak banyak negara lain yang akan mengambil langkah seperti yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan," katanya.

DI Kedah, penerima BR1M 2.0 meningkat menjadi 508,275 orang termasuk 138,661 golongan muda yang menerima RM250 untuk kali pertama.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Mohd Johari Baharom berkata penerima BRIM 1.0 tahun lepas cuma 363,132 orang bertambah 6,482 kepada 369,614 orang kali ini.

"Pembayaran hari ini dibuat serentak di semua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri. Keseluruhan bayaran dibuat berperingkat-peringkat, dijangka selesai pada 28 Februari ini.

"BR1M 2.0 ini melibatkan peruntukan RM219,477,250," katanya selepas menyampaikan wang bantuan itu peringkat DUN Jitra kepada hampir 1,500 orang di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Di Kuala Nerang, kira-kira 1,500 penerima dari DUN Pedu menerima tersebut daripada anggota DUN Pedu, Datuk Seri Mahadzir Khalid di Pusat Khidmat DUN Pedu.

Seorang penerima Ahmad Nayan, 42, berkata dia gembira dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana bermurah hati memberi bantuan tersebut kepada masyarakat yang memerlukan.

"Duit ini akan digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak dan saya harap kerajaan sekarang mengekalkan BR1M bagi membantu rakyat," katanya yang mempunyai empat anak yang bersekolah.

Habibah Samsudin, 42, pula berterima kasih atas keprihatinan kerajaan mendengar keluhan rakyat sambil berkata wang yang diterimanya hari ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan anaknya di universiti.

Seramai 2,000 orang dalam DUN Derga pula menerima bantuan itu berjumlah RM1 juta disampaikan oleh ADUN Derga, Dr Cheah Soon Hai.

Seorang penerima, Lau See Khian, 71, gembira dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan bantuan itu pada masa kaum Tionghua hendak menyambut Tahun Baru Cina.

"Saya banyak gembira menerima BR1M....dapatlah saya beli keperluan untuk sambut Tahun Baru Cina bersama isteri dan anak-anak," katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa dia akan menggunakan wang BR1M untuk membeli ubat isterinya Lim Guan Fong, 60, yang mengalami sakit tua.

"Kerajaan banyak baik hati menolong warga emas seperti saya. Kita harap kerajaan ini terus perintah negara," katanya.- Bernama
 http://www.sinarharian.com.my/nasional/agihan-br1m-2-0-selesai-akhir-februari-1.127533http://www.sinarharian.com.my/nasional/agihan-br1m-2-0-selesai-akhir-februari-1.127533
Sumber - Sinar Harian 

0 comments:

Post a Comment